Allah
memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai
bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Amalan-amalan ini
menjadi sebab Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya
dengan pemberianNya…
1. Menyempatkan diri untuk beribadah
Allah
tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis
qudsi:“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat
hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan
penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat
Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang
menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan
melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa
memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja
membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan
seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki
yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang
beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah,
hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang
ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa
berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan
memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan
al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan
sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang
tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat
baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang
tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang
masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi
rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan
hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat
sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya
maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai
kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu
a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh,
sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik
selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan
ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w.
bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah
akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi
s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian
kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni
dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki,
menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya
dimakbulkan Allah.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis
qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur
ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur
nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya
Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan
Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir
dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan
melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya
pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.
Misalnya,
dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah
lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah
satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab
dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya
Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada
juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia
tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita
meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa
berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan
bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak
dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja.
(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi
orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada
murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran,
hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat
dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik
dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan
sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.
Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan
(keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi
s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari
lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah,
Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)